Pembinaan Chalet Bakal Ubah Lanskap Ekonomi Penduduk Sebuyau - Informasi Sarawak

Post Top Ad

Responsive Ads Here

Pembinaan Chalet Bakal Ubah Lanskap Ekonomi Penduduk Sebuyau

Share This

SEBUYAU: Dengan siapnya pusat penginapan chalet dalam tempoh 12 bulan lagi, ekonomi daerah Sebuyau pastinya akan berubah dan memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat khasnya dalam industri eko-pelancongan.

Dengan peruntukan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta iaitu merangkumi kos pembinaan chalet yang berjumlah RM6.9 juta dan bakinya untuk proses pemilikan tanah dan perundangan, projek ini nanti bakal dibina oleh pihak kontraktor, Medansains Jaya Sdn Bhd yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka oleh pihak Majlis Daerah Samarahan.

Dalam majlis pecah tanah yang berlangsung di tapak chalet tersebut semalam, Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri N.27 Sebuyau, Datuk Haji Julaihi Haji Narawi berkata pembinaan chalet Sebuyau merupakan sebuah "Projek Rakyat" yang diluluskan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg semasa lawatan kerja majlis pecah tanah Bandar Baharu Sebuyau pada bulan November 2017.

“Chalet ini akan dibina berkonsepkan mesra alam iaitu dengan mengambil kira anugerah alam semulajadi dipersekitarannya. Antaranya ialah meningkatkan penanaman pokok pedada dan api-api iaitu habitat bagi monyet belanda dan aktiviti melihat kelip-kelip pada waktu malam”, jelas beliau.


Tambahnya, sungai Sebuyau dan anak sungai sekitarnya akan dijadikan tarikan untuk aktiviti "crocodile watching" apabila jeti tinjauan dibina ditebing sungai selain sebagai tempat memancing bagi para pengunjung.

Sungai Sebuyau juga boleh dijadikan jalan pengangkutan menggunakan bot untuk pergi ke Taman Negara Sebuyau di sebelah hulu sungai manakala chalet Sebuyau boleh dijadikan tempat penginapan pengunjung.

“Semestinya dengan adanya chalet dan pengunjung dari luar nanti, penduduk tempatan mampu meningkatkan pendapatan ekonomi melalui penglibatan dalam jualan hasil produk pertanian, perikanan dan makanan selain memberi peluang pekerjaan,” tambah Julaihi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Samarahan, Haji Berahim Lumpu; Setiausaha Daerah Simunjan, Geofry Ramji; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Sajeli Kipli; Sebuyau SAO, Ajis Ahmad, wakil-wakil syarikat kontraktor dan peduduk setempat.

Antara komponen utama chalet ini nanti ialah empat unit chalet berkembar, tujuh unit chalet separa-kembar, tiga unit cluster dan dua chalet asrama yang secara keseluruhannya mampu menampung seramai 84 orang penginap dalam satu-satu masa.

Selain itu chalet ini nanti juga mempunyai sebuah restoran makan yang mampu menampung kapasiti 80 pelanggan pada satu-satu masa, ruang lobi yang mampu memuatkan 50 orang pengunjung, ruang pejabat untuk enam orang, bilik persidangan untuk kapasiti 60 orang, dewan serbaguna dengan maksimum kapasiti 200 orang.

Mengulas lanjut, Julaihi menambah chalet Sebuyau merupakan salah satu komponen Bandar Baharu Sebuyau. Lokasinya terletak di tepi laluan jalan pesisir bersebelahan dengan jambatan Sebuyau berhampiran dengan pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Batang Lupar. Dengan lokasinya yang strategik ini juga nanti, kawasan chalet sekitanya boleh menjadi tempat persinggah Rehat dan Rawat (R&R) di laluan pesisir dekat Sebuyau.

“Komponen lain dalam Bandar Baharu Sebuyau ialah Masjid Baharu Sebuyau dan Klinik Baharu Sebuyau dijangka siap tidak lama lagi. Bazaar baharu pula dijangka bermula pembinaan sedikit masa lagi dan pembinaan SMK Sebuyau baharu (penempatan semula untuk SMK Sebuyau lama) juga telah diluluskan dalam Bandar Baharu Sebuyau,” ujar Julaihi lagi.

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here

Pages