Khas Kepada Pemimpin DAP Sarawak, Kerajaan Sarawak Adakan Tender Terbuka - Informasi Sarawak

Post Top Ad

Responsive Ads Here

Khas Kepada Pemimpin DAP Sarawak, Kerajaan Sarawak Adakan Tender Terbuka

Share This

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kebanyakan projek infrastruktur dibiayai kerajaan negeri akan ditender secara terbuka mulai pertengahan tahun depan.
Beliau berkata projek-projek yang ditender secara terbuka akan dilaksanakan selepas ditentukan kontraktor berjaya.
Katanya projek-projek infrastruktur itu terdiri daripada jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan bekalan air di seluruh Sarawak dan akan dibiayai oleh kerajaan negeri.
"Sarawak sebuah negeri yang besar dan sudah tentu memerlukan sumber kewangan besar untuk membangunkan khususnya dari segi infrastruktur, bekalan air dan elektrik.
"Peruntukan tahunan diagihkan kerajaan persekutuan tidak mencukupi untuk tujuan ini, kerana Sarawak hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia.
"Oleh itu, kita telah membuat keputusan begitu banyak projek jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air di seluruh Sarawak akan dibiayai Kerajaan Sarawak sendiri," katanya dalam perutusan Hari Krismas 2018 dan Tahun Baharu 2019, hari ini.
Abang Johari berkata Bajet 2019 adalah terbesar dalam sejarah Sarawak berjumlah RM10.4 bilion.
Menurutnya, kerajaan negeri mampu menyediakan peruntukan besar itu kerana hasil cukai yang dikenakan ke atas petroleum dan produk berasaskan petroleum dan gas untuk eksport.
Cukai baharu itu katanya, membolehkan Sarawak menyediakan belanjawan yang besar tanpa mengunakan rizab negeri sedia ada.
Tegasnya, rizab negeri tidak akan disentuh tetapi akan terus diperkukuhkan.
"Bajet 2019 merupakan belanjawan yang mempunyai 'surplus' yang akan dimasukkan balik ke dalam rizab negeri untuk mengukuhkan lagi rizab sedia ada.
"Sarawak mempunyai simpanan terbesar dalam kalangan negeri-negeri kerana Kerajaan Sarawak berbelanja dengan berhemah. 
"Bertahun-tahun lamanya Sarawak menerima 'Clean Bill of Health' daripada Ketua Audit Negara  dan ini merupakan bukti kewangan Negeri Sarawak ditabdir dengan baik," katanya.
Tambahnya lagi, bajet Sarawak juga merupakan bajet yang saban tahun menitikberatkan pembangunan dengan peruntukan pada kadar 30 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan 70 peratus lagi untuk pembangunan.
"Anak Sarawak sendiri telah membuktikan mereka boleh mentadbir negeri dengan baik, dengan dasar berpandangan jauh, konsisten, bukan semata-mata untuk kepentingan politik.
"Oleh itu, saya menyeru agar terus dipertahankan, Sarawak terus ditadbir oleh anak-anak Sarawak sendiri yang tidak dikongkong oleh pihak lain dalam proses membuat keputusan demi manfaat rakyat dan negeri Sarawak," ujarnya. -Utusan Borneo Sarawak

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here

Pages