PAS Dan GPS Rakan Baik Di Parlimen - Informasi Sarawak

Post Top Ad

Responsive Ads Here

PAS Dan GPS Rakan Baik Di Parlimen

Share This

BINTULU: Hubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah baik sebagai rakan yang membentuk parti pembangkang di negara ini meskipun bukan hubungan secara rasmi.
Ahli Parlimen Bachok, Kelantan merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan hubungan di parlimen dan setakat ini barisan pembangkang nampak bersatu hati.
“Maknanya, kita sentiasa berbincang walaupun kita tiada hubungan rasmi dengan GPS seperti PAS dengan UMNO, tetapi dalam banyak isu kita bincang bersama di parlimen.
“Banyak isu di Malaysia hari ini kita sependapat dengan GPS,” ujarnya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PAS Kawasan Bintulu Kali Ke-9 2019 di sebuah hotel di sini, semalam.
Bercakap lanjut mengenai hala tuju PAS di Sarawak, Nik Mohamad Abduh berkata, PAS bertindak sebagai ejen perpaduan dan ingin mengambil contoh kesatuan dan kesejahteraan rakyat Sarawak untuk dibawa ke Semenanjung.
“Apabila saya datang ke Sarawak, saya tahu Sarawak banyak suku kaum bukan hanya Melayu, Cina, India sebagaimana di Semenanjung bahkan macam-macam suku kaum yang ada di sini dan mereka boleh hidup aman.
“Dengan semangat negeri Sarawak dan Malaysia, ahli politik Sarawak berjaya menyatukan suku kaum di negeri itu dan ia adalah sesuatu yang baik dan saya rasa semangat ini boleh dibawa ke Semenanjung yang keadaannya bermacam-macam,” katanya.
Menurutnya, walaupun ditubuhkan di Semenanjung, kehadiran PAS di Sarawak mula difahami dengan jentera PAS terdiri daripada anak tempatan.
“Maka, kita yakin apa yang hendak kita jelaskan mengenai politik Islam ini adalah untuk meningkatkan lagi kesatuan bukan hanya di negeri Sarawak bahkan menyatukan semua persekutuan Malaysia, Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Itu peranan kita selain peranan asas sebagai seorang Islam dalam dunia dakwah dan mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah dan Islam,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengucapkan tahniah kepada PAS Bintulu kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali ke-9 yang telah sembilan tahun ditubuhkan.
Katanya, ini sebahagian daripada kejayaan PAS di Sarawak yang telah berkembang dengan penubuhan kawasan-kawasan baharu di Sarawak dan Semenanjung. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here

Pages